30 September 2007

terima kasih atas kerjasama semua...



Mungkin ada diantara kita yang sudah berjaya gah diatas sana dengan 'title' jurufoto profesional dan ternama. Tahniah kepada mereka-mereka yang cekal di bidang ini. Langkah saya rasanya masih jauh... baru nak mula menapak... kadang-kadang baru nak mara setapak sesekali terpelesok jatuh. Banyak rintangan juga ingin menjadi salah seorang yang terbaik dalam bidang ini. Namun apa yang pasti... banyak pihak, perkara, situasi dan macam-macam lagilah yang terlibat untuk mematangkan hasil kerja serta karya seseorang jurufoto. Syukur kepada tuhan yang memberi pinjaman kepada kehidupan yang indah, alam semulajadi, kemajuan serta apa sahaja dimuka bumi ini adalah sebuah hadiah yang tidak terkira nikmatnya. Sebagai seorang yang suka merakam gambar foto, kita perlu berterimakasih kepada semua atas kerjasama... dan sebagainya. InsyaAllah semoga ada 'climax' pencapaian kita semua di dalam bidang ini. Manfaatkan bidang ini sebagai perantara serta merapatkan hubungan setiakawan, rakan kongsi dan bantu-membantu antara satu sama lain. Kiranya bukan untuk kepentingan satu pihak sahaja, semua pihak ada hak untuk merealisasikan impian mereka.

minat dan kecenderungan

Memang tidak saya nafikan, bidang seni fotografi pada zaman teknologi sekarang ini terlalu luas penggunaannya. Bukan sorang dua yang boleh mengambil foto yang cantik... malah terlalu ramai jumlahnya kerana era digital telah memudahkan banyak pihak untuk menceburkan diri dalam fotografi. Tambahan pula pulangannya juga lumayan. Berbekalkan sedikit ilmu pengetahuan... serta akademik dari bidang seni grafik maka sedikit kelebihan yang saya ada kerana rata-rata teknik digital yang diadaptasi pada foto diperkemaskan dengan teknik grafik. Walaupun sudah ramai menceburi bidang ini, namun saya percaya bidang fotografi bukanlah satu bidang yang mudah untuk kita selami sebaiknya. Banyak perkara kita perlu belajar, dan biasanya latihan dan pengalaman banyak membantu dalam bidang ini. Jika dahulu saya memetik picu kamera hanya sebagai karya seni peribadi tetapi hari ini sedikit sebanyak ianya membantu bagi penerbitan majalah dan sebagainya. Lantas itu juga saya juga penggemar sukan lasak xtreme dan dengan izin Tuhan sempat jugalah saya mengepalai beberapa isu untuk majalah sukan ekstrem tempatan iaitu majalah Kompilasi 3X. Grafik dan fotografi adalah 2 cabang seni yang sangat berkaitrapat ( macam adik beradik kembarlah senang cerita... he heh..). Jadi dengan tidak semena-mena saya timbulkan 'mood' dalam kerja-kerja saya serta karya saya dengan tema 'photographix' ( photography + graphic + xtreme ). Apapun... tema itu bukanlah penting sangat bagi saya... sekadar satu fasa ayat yang direka dengan logik akal. Maka dengan sedikit kemahiran yang ada saya akan terus mendalami ilmu di bidang ini dan sama-samalah kita memeriahkan 'scene' fotografik ini ya! Selamat untuk semua.

salam perkenalan



Salam perkenalan untuk semua. Secara ringkas saya ingin memperkenalkan diri, saya adalah anak kelahiran Kota Tinggi, Johor dan telah pun mendirikan rumah tangga bersama Anilah binti Abu Bakar. Kini menetap di Taman Sentosa, Klang, Selangor dan pernah berkerja di sebuah organisasi penerbitan majalah bernama SURI MEDIA Sdn Bhd. Setelah bekerja hampir 7 tahun kini saya telahpun menukar angin kerja di tempat lain, juga sebagai pereka grafik di Karangkraf Sdn Bhd. Dipendekkan cerita, saya memang meminati bidang seni foto juga seni grafik yang merupakan kerja saya sehari-hari. Menceburkan diri dalam seni fotografi secara serius adalah salah satu cita-cita sejak di bangku sekolah lagi, jika sebelum ini sekadar suka-suka, namun apalah salahnya jika hobi ini sedikit sebanyak boleh mendatangkan hasil sampingan bagi menambah sumber rezeki yang dilimpahi oleh tuhan yang maha kuasa...insyaAllah.